PERLUKAH PENGAMBILAN SUPLEMEN SETIAP HARI
Jika
kita ke farmasi atau klinik kita akan melihat pelbagai jenis pil-pil
suplemen atau vitamin dan mineral yang dijual. Pelbagai promosi dan
iklan di media massa tentang pelbagai jenis suplemen yang dijual
dipasaran. Suplemen atau makanan tambahan adalah zat-zat makanan mikro
atau surih yang perlu kita ambil setiap hari untuk mengekalkan kesihatan
yang baik.
Persoalan yang selalu ditanya adalah;
“ Kenapa kita perlu mengambil suplemen atau makanan tambahan ini?”
Jika
anda bertanya dengan sesetengah doktor maka ada yang berpendapat bahawa
kita tidak perlukan suplemen ini. Pada pendapat mereka cukuplah dengan
hanya mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang untuk kekal sihat.
Pendapat sebegini agak kurang tepat dengan keadaan kehidupan kita pada
zaman moden ini. Kajian saintifik yang terbaru membuktikan bahawa dengan
mengamalkan pengambilan suplemen ia akan membantu mendapatkan kesihatan
yang lebih baik dan mencegah pelbagai jenis penyakit yang kronik.
Hakikatnya, makanan yang kita makan zaman sekarang tidak dapat menampung
keperluan vitamin, mineral, zat-zat surih dan anti oksidan tubuh kita.
Saya
selalu ditanya, adakah terdapat bukti saintifik tentang kepentingan
pengambilan suplemen ini. Sebenarnya, terdapat ribuan kajian yang telah
dijalankan sebenarnya yang boleh kita baca dalam jurnal-jurnal
perubatan. Satu kajian yang sangat popular yang dinamakan ‘Nurses Health
Study’ yang dijalankan dari tahun 1976 hingga 1989 melibatkan 280,000
jururawat telah menunjukkan diantara kesimpulannya adalah pengambilan
beberapa jenis suplemen seperti anti oksidan boleh mencegah kanser dan
masalah buta mata akibat katarak. Kesimpulan lain adalah: pengambilan
vitamin D dan kalsium boleh mencegah masalah reput tulang. Pengambilan
suplemen vitamin B6, kalsium, vitamin D dan asid folik boleh membantu
mencegah kanser. Pengambilan makanan yang kaya dengan Omega 3 boleh
mencegah sakit jantung dan angin ahmar (strok). Berdasarkan fakta kajian
ini jelas menunjukkan kepentingan pengambilan suplemen dalam mencegah
penyakit kronik yang merbahaya.
Terdapat
banyak lagi kajian yang telah diterbitkan dalam jurnal-jurnal perubatan
yang menunjukkan pengambilan secara berterusan suplemen mampu mencegah
penyakit kronik dan mengekalkan berat badan yang ideal. Kajian-kajian
lain telah membuktikan kelebihan vitamin dalam pencegahan
penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, kanser, darah tinggi,
kencing manis, osteoporosis dan pelbagai lagi.
Kajian-kajian
lain juga menunjukkan anti oksidan, vitamin B6, B12, asid folik,
vitamin C, vitamin D dan vitamin E mampu mencegah penyakit dengan
melindungi membran sel dan DNA didalam sel dari kerosakan akibat radikal
bebas dan pelbagai jenis toksin yang masuk kedalam tubuh manusia.
Didalam buku saya, ‘Hindari Kanser dengan Anti Oksidan’, saya telah
menyenaraikan kajian-kajian saintifik tentang anti oksidan yang
berkaitan dengan kanser dan pencegahannya.
Terdapat
juga banyak kajian menunjukkan pengambilan supplemen omega 3 mampu
membantu menurunkan paras kolesterol, mencegah penyakit jantung dan
mengawal berat badan sebagaimana yang telah saya tulis dalam buku saya
‘Omega 3: kepentingannya kepada kesihatan’.
Begitu
juga pengambilan probiotik sebagai suplemen harian mampu meningkatkan
immuniti, penghadaman yang baik , mengurangkan masalah allergi dan
mencegah kanser usus.
Secara
umumnya, makanan yang kita makan setiap hari tanpa kita sedari
sebenarnya tidak seimbang dan amat rendah kandungan zat-zat surih atau
mikro seperti vitamin, mineral, anti oksidan dan sebagainya. Makanan
kita kaya dengan karbohidrat, lemak tepu, lemak ‘trans’ dan ‘GULA’ yang
berlebihan ditambah lagi dengan pelbagai pengawet, pewarna dan perasa
tiruan. Bahan-bahan tambahan ini mengganggu keseimbangan metabolisma
sel-sel dalam tubuh manusia. Budaya makanan segera yang dibawa dari
barat memburukkan lagi masalah ini. Anak-anak dan juga ibubapa amat
kurang mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam pemakanan
seharian.Pemakanan seimbang masa kini lebih kepada iklan di poster di
sekolah, klinik dan hospital semata-mata. Hakikatnya ianya tidak di
amalkan dalam kehidupan seharian.
Sekarang
perkembangan industri makanan segera amat hebat sekali. Setiap hari
kita melihat iklan-iklan di kaca televisyen tentang makanan segera.
Kemajuan ekonomi seiring dengan perubahan corak pemakanan manusia di
seluruh dunia. Makanan yang di proses amat mudah didapati dalam pasaran
yang hanya mempunyai ‘karbohidrat kosong’ tanpa zat-zat mikro yang
mencukupi. Disinilah pentingnya suplemen yang kita makan akan membantu
membekalkan mana-mana zat-zat yang kekurangan tanpa kita sedar untuk
menjaga keseimbangan metabolisma sel-sel tubuh manusia.
Kehidupan
kita dizaman moden sekarang yang membeli semua makanan di pasar atau
pasaraya besar jauh berbeza dengan kehidupan datuk nenek kita di zaman
dahulu yang menghasilkan sendiri makanan mereka. Sayur-sayuran dan
buah-buahan yang kita makan ditanam secara komersil dengan penggunaan
baja kimia, racun rumpai dan sebagainya. Makanan dari sumber daging
ayam, kambing, lembu diternak secara komersil dengan penggunaan hormon
and antibiotik yang berleluasa. Ikan dilaut juga tercemar dengan logam
berat raksa yang menyebabkan keracunan kronik. Isu-isu pencemaran ini
amat kompleks dan susah untuk dielakkan, natijahnya untuk menjaga
kesihatan badan kita , kita perlukan suplemen setiap hari.
Semua
sel di dalam tubuh menggunakan vitamin dan mineral serta antioksidan
untuk melindungi bahagian-bahagian sel seperti membran, protein, lipid,
plasma, mitokondria, nukleus dan DNA dari kerosakan oksidatif. Zat-zat
mikro seperti vitamin, mineral dan anti oksidan membantu dalam proses
membaikpulih sel dan seterusnya membolehkan ia berfungsi dalam keadaan
yang optimum.
Apabila
sel-sel berfungsi dalam keadaan baik maka semua organ dan sistem tubuh
manusia dapat berfungsi dengan baik. Kesannya, kesihatan akan
terpelihara dan boleh dikekalkan untuk jangkamasa yang lebih panjang
dengan mengambil suplemen yang perlu.
Sikap
sesetengah orang yang mempunyai tabiat tidak sihat seperti merokok,
tidak bersenam, makan secara berlebihan, masalah obesiti dan stress yang
melampau menyebabkan kadar penyakit zaman moden seperti darah tinggi,
kencing manis, sakit jantung, angin ahmar dan kanser semakin buruk dan
meningkat dengan begitu ketara sekarang. Ini menambahkan lagi keperluan
pengambilan suplemen untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik
akibat tabiat buruk ini. Berhenti dari mengamalkan tabiat-tabiat yang
merbahaya kepada kesihatan adalah langkah terbaik dan pengambilan
suplemen akan membantu memulihkan kesihatan tubuh secara keseluruhannya.
Tetapi
perlu diingat bahawa pemakanan seimbang dan sihat dengan mengambil
lebih banyak sayur-sayuran, buah-buahan dan karbohidrat berserat tinggi
juga penting untuk mencegah penyakit-penyakit kronik ini. Bersenam juga
adalah salah satu faktor penting dalam mencegah penyakit ini.
Ketiga-tiga faktor ini amat penting dan perlu seiring diamalkan untuk
mendapat kesihatan yang optimum dan bukan hanya bergantung kepada
pengambilan suplemen semata-mata. Suplemen bukanlah ubat untuk mencegah
penyakit tetapi sebagai satu tabiat yang sihat membantu mencapai
kesihatan optimum.
Dengan
memulakan pengambilan suplemen setiap hari seperti multivitamin,
mineral, antioksidan, omega 3 dan probiotik yang berkualiti tinggi,
seseorang boleh merasakan perbezaan tahap kesihatannya dalam masa
beberapa hari, minggu, bulan atau tahun. Sesetengah orang akan merasa
peningkatan tenaga, ketenangan fikiran dan peningkatan prestasi fizikal
dengan penggunaan suplemen ini. Malah terdapat juga orang-orang yang
lebih dramatik kesannya ke atas mereka. Perlu juga di ingat walaupun
sesuatu perkara yang baik tetap ada hadnya, pengambilan suplemen ini
perlu mengikut dos yang sepatutnya dan tidak berlebihan. Pengambilan
makanan sihat masih perlu diamalkan untuk mendapat kesan kesihatan yang
optimum.
Terdapat
sesetengah orang pula tidak dapat merasai atau menyedari apa-apa kesan
dari pengambilan suplemen atau makanan nutrisi tambahan ini, tetapi ini
tidak bermakna tiada sebarang pembaik pulihan berlaku.
Sama
ada seseorang itu merasainya atau tidak, pengambilan suplemen tambahan
telah terbukti secara saintifik berdasarkan kajian yang telah
dijalankan. Dengan pengambilan suplemen setiap hari secara konsisten,
seseorang itu akan mendapat faedah kesihatan yang lebih baik,
InsyaAllah.
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS(Man), MScAARMMA(UCSI), FAGE
MMC: 36627
Pengamal Perubatan Am dengan
Pengkhususan Perubatan Nutrisi, Anti Penuaan, Esthetik & Perubatan Regeneratif
No comments:
Post a Comment